FATWA WAKTU BERBUKA DI UDARA

by | | 0 comments
24 Ogos 2009

As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, ketua Persatuan Ulamak Antarabangsa telah mengeluarkan fatwa pada hari Ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang.

Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, dan bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin berbuka puasa, waktunya tidak boleh:

  • mengikut negara yang mereka bertolak daripadanya, atau
  • mengikut negara yang ditujukannya, atau
  • mengikut negara yang ia berada atasnya.

Akan tetapi waktunya ialah ketika hilangnya matahari daripada penglihatan mata mereka.

Mengikut Syeikh Qardhawi, sesungguhnya dia dikejutkan ketika dalam penerbangan daripada Kaherah ke Doha pada awal Ramadhan baru-baru ini dengan pengumuman daripada seorang pilot asing yang bukan Islam, bahawa telah masuknya waktu berbuka puasa. Akan tetapi dalam waktu yang sama matahari masih terpampang kelihatan dan siangnya masih jelas. Pengumuman itu berpandukan kepada negara yang berada di bawahnya telah memasuki waktu berbuka.

Fadhilatus-Syeikh telah menceritakan dialognya bersama penumpang-penumpang yang duduk bersebelahannya.

Syeikh berkata, “Tidak harus kamu berbuka puasa sebelum terbenamnya matahari. Sebenarnya waktu maghrib masih belum masuk. Maka adakah sah sekiranya kamu solat maghrib pada ketika ini?”

Jawab mereka, “Tidak!”

Maka aku menjawab balik, “Demikianlah juga berbuka puasa. Tidak boleh ia dilakukan sebelum tiba masanya”. Aku mengakhirkan kalamku dengan mengatakan, “Bahawa manusia itu setiap kali berada ditempat tinggi daripada bumi maka akan dapat melihat matahari itu terbenam. Demikianlah juga orang-orang yang tinggal di bukit-bukau atau di tempat–tempat yang tinggi. Mereka akan melihat dengan jelas ketika terbenamnya matahari, berbanding dengan orang-orang yang tinggal berhampirannya di tempat rendah atau tanah berdatar”.

Akhirnya, Al-Qaradawi telah meminta pesawat Qatar (yang beliau naikki) dan juga pesawat-pesawat Arab lain supaya memperingatkan kakitangannya supaya berhati-hati dalam perkara ini dan memastikan terbenamnya matahari sebelum mengumumkan waktu berbuka puasa.


http://qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=7127&version=1

Rakyat dititah jadi pengguna bijak

by | | 0 comments
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan rakyat di negara ini supaya menjadi pengguna yang bijak dan mengamalkan perbelanjaan secara berhemat bagi memastikan mereka mampu mengharungi masa depan yang lebih mencabar.

Sehubungan itu, baginda menyeru agar rakyat bersedia ekoran kenaikan harga bahan makanan di seluruh dunia berpunca daripada pemanasan global, bencana alam dan perubahan polisi negara pengeluar termasuk peningkatan penduduk dunia sebanyak empat peratus setahun.

“Sebagai negara pengimport makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan kerajaan. Dalam keadaan ini, beta menyeru rakyat supaya lebih bersedia menghadapi fenomena ini,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal keempat Persidangan Parlimen ke-12 di sini semalam.

Terdahulu Seri Paduka memeriksa barisan kawalan kehormatan di Dataran Parlimen yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi di sini yang diketuai Mejar Ahmad Muzaimi Mohd. Ali.

Punca kebangkitan rakyat di Asia Barat

by | | 0 comments

KEBANGKITAN rakyat di negara-negara Asia Barat yang bermula di Tunisia sebelum merebak ke Mesir dan kini di Yemen, Bahrain dan Libya tidak berlaku tanpa sebab.

Gelombang kebangkitan rakyat itu bermula selepas para penunjuk perasaan berjaya menyebabkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan bulan lalu.

Ia kemudian diikuti oleh rakyat di Mesir yang berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah sehingga mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan selepas hampir 29 tahun memerintah.

Kebangkitan itu kemudian diteruskan oleh rakyat di Libya, Bahrain dan Yemen yang menuntut reformasi pemerintahan dilakukan.

Semua kebangkitan rakyat itu berlaku dalam zaman Facebook, Twitter dan Internet serta komunikasi penghantaran mesej yang laju menerusi telefon bimbit.

Laman web sosial dan telefon bimbit itu membantu kejayaan tunjuk perasaan di Mesir namun punca sebenar gelombang kebangkitan tersebut adalah tiadanya program ekonomi tersusun untuk rakyat di negara-negara tersebut.

Negara Mesir moden sudah lama wujud tetapi apakah yang dilakukan oleh Hosni semasa beliau memerintah untuk membaiki taraf hidup rakyat?

Rakyat di negara itu sudah bosan dengan taraf pembangunan yang berkualiti rendah sedangkan anak-anak pemimpin di negara berkenaan menikmati pendidikan dan gaya kehidupan mewah.

Negara-negara itu sudah tidak lagi dijajah oleh penjajah tetapi ketiadaan kemajuan yang dinikmati oleh rakyat menyebabkan mereka mudah bersatu untuk menentang pemerintah.

Hosni tumbang bukan disebabkan oleh musuh-musuh politiknya yang kuat tetapi di tangan rakyat yang merupakan golongan biasa tanpa sebarang kekayaan.

Selama hampir 29 tahun berkuasa, rakyat tidak lagi menyanjung keberanian Hosni berdepan dengan Israel dalam peperangan pada masa lalu sebaliknya mereka menuntut dengan berani dengan memberitahu beliau supaya berundur.

Selama ini, strateginya untuk kekal berkuasa dengan menyekat beberapa laman sosial di zaman Internet dan menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat yang tidak menyokongnya musnah hanya disebabkan tunjuk perasaan rakyat selama 18 hari.

Kesilapan pemimpin-pemimpin di Asia Barat ialah mereka cuma menonjolkan kehebatan diri mereka di depan rakyat tetapi pada masa yang sama gagal untuk menyediakan pelan pembangunan ekonomi yang bersistematik untuk pembangunan.

Itulah dilema yang dihadapi oleh Hosni, Zine El Abidine dan kini pemimpin terkenal dari Libya, Muammar Gaddafi, keluarga diraja Bahrain dan Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh.

***

Di bumi yang sama ini, kita hidup di masa yang sama (tahun yang sama), tapi di sesetengah tempat, ada lagi manusia  yang seolah-olah masih hidup di zaman dinasor. Apa bezanya Malaysia dengan sesetengah negara di Afrika? Yaah. Bagaimana ini masih boleh berlaku? Pembangunan ekonomi dan ketamadunan sesetengah kelompok manusia sedang AMAT LAMBAT walaupun seiring di atas pentas masa yang sama..

Hukum menjadi Model dan Tabarruj

by | | 0 comments
Syarat-syarat umum sesuatu fesyen ataupun busana itu menepati hukum syara’

1. tidak ketat sehingga menampakkan bentuk badan
2. tidak nipis
3. tudung hendaklah melepasi paras dada
4. tidak diperagakan dengan digaya-gayakan di hadapan ajnabi seperti catwalk dalam peragaan fesyen walaupun dikatakan ia menutup aurat
5. tidak berhias dan bersolek seperti tabarruj jahiliyyah


Tidak ada fatwa mahupun mufti berfatwa mengenainya bukanlah dalil menunjukkan sesuatu perkara itu harus ataupun halal kerana senyapnya mufti tidak menjadi sumber hukum dalam Islam apatah lagi sesuatu perkara itu seperti etika berpakaian bagi wanita muslimah. Isu tabarruj merupakan isu yang sudah mempunyai hukum tersendiri untuk sekian lama dan bukanlah isu baru yang perlu di fatwakan.

Memetik sebahagian drp perkongsian ustaznaim.blogspot.com

Perang dan Fitnah Akhir Zaman

by | | 0 comments
Malaysia tidak akan selama-lamanya aman, janji Allah tentang kewujudan fitnah akhir zaman adalah semestinya perlu kita perhatikan. Kita harus bersiap sedia dan tidak selama-lamanya mendidik anak-anak muda khasnya para pelajar yang menjadi harapan ummah untuk terus lena dalam kemanjaan.

Firman Allah swt : "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-baqarah : 216)

Tanda-tanda Besar Kiamat

by | | 0 comments
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra. berkata:

“Datang kepada kami Rasulullah saw. dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari qiamat”. Lalu Nabi saw. bersabda: “Tidak akan terjadi hari qiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: "Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka". - H.R Muslimi


***

Sepuluh tanda-tanda qiamat yang disebutkan Rasulullah saw. dalam hadis ini adalah tanda-tanda qiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir tibanya hari qiamat. Sepuluh tanda itu ialah: Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.

Binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Shafa di Mekah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah swt. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah swt. tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa. Turunnya Nabi Isa alaihissalam ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleb orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal. Keluarnya bangsa Ya’juj dan Ma’juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.

Gempa bumi di Timur. Gempa bumi di Barat. Gempa bumi di Semenanjung Arab. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman. Mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitab Fathul Bari beliau mengatakan: “Apa yang dapat dirajihkan (pendapat yang terpilih) dari himpunan hadis-hadis Rasulullah Saw. bahawa keluarnya Dajal adalah yang mendahului segala petanda-petanda besar yang mengakibatkan perubahan besar yang berlaku dipermukaan bumi ini. Keadaan itu akan disudahi dengan kematian Nabi Isa alaihissalam (setelah belian turun dari langit).

Kemudian terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya adalah permulaan tanda-tanda qiamat yang besar yang akan merosakkan sistem alam cakerawala yang mana kejadian ini akan disudahi dengan terjadinya peristiwa qiamat yang dahsyat itu. Barangkali keluarnya binatang yang disebutkan itu adalah terjadi di hari yang matahari pada waktu itu terbit dari tempat tenggelamnya”.

Susulan rusuhan di Mesir?

by | | 0 comments
Kejatuhan Hosni Mubarak akan menyebabkan iklim dan cuaca politik Asia Barat bakal berubah. Sudah tentu Israel dan Amerika Syarikatlah negara yang paling takut dengan perubahan ini.

Tentunya Israel masih terkenangkan Ramadhan War 1973 (Yom Kippur). Yang mana ketika itu Negara Mesirlah yang mengepalai serangan keatas Regim Zionis itu dengan bantuan ribuan sukarelawan Ikhwanul Muslimin.

Israel tidak takut kepada Syria, Jordan dan Arab Saudi bahkan Iran. Semuanya penakut dan bacul.

Ingat! Fakta sejarah yang mencatatkan pengalaman Yahudi berperang selepas Khaibar(zaman Rasulullah) adalah dengan Mesir dalam Ramadhan War (Oktober 1973).

Israel amat takut dengan jatuhnya Mubarak dan diganti pemimpin yang berfikiran Islamik. Lebih-lebih lagi jika pemimpin itu dari Ikhwanul Muslimin.

Israel melihat jika Mesir dipimpin oleh golongan Islamik, sudah tentu berlaku penggabungan dengan Gaza yang diperintah HAMAS. Ianya amat merbahaya kepada regim Zionis tersebut.

Israel perlu melakukan sesuatu untuk hayat hidup negara haram itu.

Antara langkah yang berkemungkinan dilakukan Israel ialah :

1) Mengajak Amerika melakukan campurtangan terhadap Mesir secara ketenteraan sepertimana Afghanistan dan Iraq. Israel sediakan pengkalan untuk Tentera Amerika. Amerika juga masih "fobia" dengan peristiwa rampasan Kedutaan mereka oleh belia-belia Iran dalam Revolusi Iran tahun 1979. Penahanan tebusan berlangsung lebih 300 hari.

2) Berpakat dengan Regim Mubarak untuk menyerang Mesir. Dengan ini rakyat Mesir akan lupakan isu jatuhkan Mubarak. Regim Hosni Mubarak kemudian akan tiupkan slogan "bersatu" untuk pertahankan kedaulatan Mesir. Dengan mengalihkan fokus isu dalaman negara kepada isu kedaulatan negara.

3) Barangkali ini langkah terakhir jika langkah (1) dan (2) tidak berkesan. Iaitu melakukan serangan besar-besaran keatas Mesir bersama Amerika, Britain, Perancis dan negara NATO yang lain. Atas alasan untuk mempertahankan keselamatan Israel dari ancaman Negara Arab.

- Tok Pepijat: Israel Serang Mesir

Malaysia tanah pusaka orang Melayu

by | | 0 comments
Oleh: A. Kadir Jasin

Mengikut semantik semasa di kalangan sesetengah orang bukan Melayu dan segelintir orang Melayu sesat, tajuk di atas adalah rasis kerana sesiapa pun yang bercakap mempertahankan bangsa Melayu adalah seorang yang rasis. Sebaliknya mempertahankan hak bangsa-bangsa lain di bumi yang sama adalah “hak”. Natijahnya, orang Melayu mempertahankan haknya dia dianggap rasis, tetapi apabila orang bukan Melayu melakukan yang sama ia dikatakan hak mereka.

Sentimen ini diulang sebut oleh bekas Perdana Menteri (Tun) Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di wacana ilmu anjuran bersama Mubarak, Yayasan Perikatan dan Arkib Negara di ibu negara semalam.

Tetapi Dr Mahathir “memberanikan” diri mengulangi bahawa bumi ini adalah bumi Melayu. Melayu adalah tuan rumah. Melayu menentang Malayan Union. Melayu menuntut kemerdekaan dan Melayu bersetuju menerima kewarganegaraan kaum pendatang dari China dan India.  Menggunakan landasan jus soli, British berjaya memujuk orang Melayu menerima kewarganegaraan satu juta orang keturunan imigran yang lahir di Tanah Melayu apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957.

Tuan rumah terpaksa berkongsi rumah. Sekali gus mereka mendapat hak sebagai warganegara dan bagi orang Melayu, daripada “tuan rumah” di Tanah Melayu mereka terpaksa berkongsi rumah itu dengan orang Cina dan India.

Saya hadir wacana ilmu itu, tetapi ingin merujuk kepada laporan portal berita Malaysian Insider yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata, pemimpin negara yang terdahulu memberikan kewarganegaraan kepada orang Cina dan India kerana mereka menjangka orang Cina dan India akan menghormati kedaulatan Melayu.

Jadi adakah Dr Mahathir rasis dan sesiapa yang sependapat dengan beliau rasis apabila beliau mengulang tegas bahawa Malaysia dimiliki oleh orang Melayu dan sesiapa yang menjadi rakyat negara ini wajiblah menerima budaya dan bahasa Melayu sebagai budaya dan bahasa dominan?

Seperti saya tulis berulang kali, orang yang menafikan Melayu sebagai tuan rumah bumi Malaysia ini atau segelintir orang Melayu sendiri yang berkata mereka juga pendatang adalah buta sejarah atau hidup dalam penafian.

Lama sebelum kelompok cauvinis dan penentang sejarah ini mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu (termasuk Bumiputera lain) serta kedudukan mereka sebagai tuan rumah, para sejarawan, pengembara dan pelukis peta Barat sudah mengakui kewujudan Dunia Melayu dalam wilayah geografi (geographical area) yang mereka panggil “Malay Archipelago” (Kepulauan Melayu).

Lama sebelum itu, ahli geografi Greek, Claudius Ptolemy (c.90-168) memberi nama Golden Chersonese atau dalam bahasa Greek, Chersonesus Aurea, kepada Semenanjung Tanah Melayu. Dia memberi label itu kerana Semenanjung Tanah Melayu mempunyai reputasi sebagai sumber penting emas dunia.

Hakikatnya, emas (dan kemudian bijih timah) lah yang membawa ramai perantau Cina ke Tanah Melayu pada kurun ke-19 hingga pertengahan kurun ke-20. Emas masih dilombong di negara kita hingga ke hari ini.

Manakala orang India umumnya datang ke Tanah Melayu atas tajaan British dan agen-agennya untuk bekerja sebagai “coolie” di ladang-ladang kelapa, getah dan teh, orang Cina dibawa masuk oleh tauke-tauke lombong Cina atau datang sendiri untuk menanam gambir, lada dan sayur-sayuran serta berniaga kecil-kecilan.

(Demi mengelak daripada dituduh rasis dan tidak sensitif, saya ingin menjelaskan yang istilah coolie atau disebut juga cooley, kuli, quli dan koelie berasal daripada perkataan Urdu quli yang bererti pekerja harian atau pekerja bergaji hari.)

Yang dibawa oleh Inggeris adalah candu kerana mereka memonopoli perniagaan candu dan ramai imigran dari China menagih candu. British berperang dua kali dengan China untuk menguasai perdagangan candu (1839-42 dan 1856-60).

Antara bekas penagih candu terkenal dan berjaya di Tanah Melayu adalah Kuok Keng Kang, bapa kepada Raja Gula Robert Kuok Hock Nien. Keng Kang mengatasi penagihan candu apabila “dibawa” melancong ke Eropah oleh kawan-kawan Melayunya pada tahun 1928. Keng Kang menjadi lebih berjaya apabila diberikan kontrak oleh Inggeris untuk membekalkan makanan kepada 50,000 tawanan perang Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Kedai candu (opium den) dan kedai todi adalah antara perniagaan yang paling awal dilesenkan oleh British. Kedai candu dan penagihan candu sudah lama diharamkan, tetapi kedai todi ada lagi.

Saya membaca dalam akhbar bahawa kedai todi terakhir di Kuala Lumpur yang terletak di Brickfields akan ditutup kerana kehadirannya tidak cocok lagi dengan imej moden Brickfields sebagai “Little India” hasil ledakan minda Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak.

Kesan buruk ekonomi penjajah

Oleh kerana minat Inggeris di Tanah Melayu adalah ke atas kekayaan bumi dan bukan penaklukan mutakhir maka mereka memberikan “kebebasan” kepada orang Melayu untuk terus miskin dan pada masa yang sama membenarkan kaum imigran mengamalkan cara hidup mereka.

Selain candu dan todi, turut datang dengan kaum-kaum imigran adalah agama dan budaya mereka, termasuklah kasta bagi orang Hindu dan kongsi gelap bagi orang Cina.

Ekonomi dipecah-pecahkan. Melayu dikekalkan di luar bandar dengan ekonomi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang (subsistence economy), Cina dalam sektor perlombongan dan perniagaan manakala India perladangan dan perburuhan.

Sebahagian besar kesan pemisahan ekonomi dan sosial oleh penjajahan Inggeris, seperti Dr Mahathir tegaskan, masih wujud dan inilah yang perlu diatasi sebelum bangsa Malaysia yang sejati boleh diwujudkan.

Katanya, walaupun orang Melayu telah mencatat banyak kejayaan, namun jurang yang memisahkan mereka dengan orang keturunan imigran masih luas dan mungkin menjadi lebih luas jika dasar pembahagian kekayaan negara seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru dihapuskan.

Dr Mahathir tidak melihat tindakan mewujudkan label akan membawa kebaikan kepada negara sekiranya tidak dijelaskan dan dibentuk dengan cara yang boleh difahami umum.

Menjawab pertanyaan mengenai 1 Malaysia, Dr Mahathir berkata tinjauan rambang memberi gambaran bahawa kepada orang Melayu 1 Malaysia bererti satu aliran sekolah. Jadi mereka mahu sekolah Cina dan Tamil dihapuskan. Kepada orang Cina dan India pula, kekalkan sekolah Cina dan Tamil, tapi hapuskan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Dr Mahathir berkata beliau pernah mengemukakan konsep dan aspirasi Bangsa Malaysia sewaktu memperkenalkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 di mana semua kaum meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan kaum masing-masing.

Dr Mahathir berkata, kalau kaum-kaum di Malaysia terus memperjuangkan hak masing-masing berdasarkan negara asal mereka, maka ini jelas membuktikan bahawa mereka mengaku mereka adalah pendatang.

Sekarang adalah “masa depan”

Beliau mengingatkan orang Melayu, apa yang mereka lalui hari ini adalah “masa depan” yang diperjuangkan oleh orang Melayu sebelum merdeka.

Sama ada “masa depan” yang akan mendatang yang sedang dibahaskan sekarang akan lebih baik dari yang ada pada hari ini atau sebaliknya bergantung kepada kesepakatan orang Melayu dan pemimpin mereka.

Dr Mahathir membuat kesimpulan semasa orang Melayu lemah di segi politik dan ekonomi, mereka menjadi kuat hingga mampu melawan Malayan Union dan akhirnya mencapai kemerdekaan kerana mereka bersatu padu.

Hari ini, orang Melayu mungkin lebih kuat sedikit di segi ekonomi, tetapi mereka lemah di segi politik sehingga terpaksa bergantung kepada kaum-kaum minoriti kerana Melayu berpecah-belah, korup dan mudah diperkotak-katikkan. Penawar kepada maladi (penyakit) bangsa ini, kata Dr Mahathir, adalah perpaduan.

Khutbah Terakhir Rasulullah

by | | 0 comments
Tarikh : 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriah
Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah. 

Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. 

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang. 

Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara perkara kecil. 

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. 

Wahai manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikan sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikan zakat dan harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak saorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal solleh. 

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap ALLAH pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai maanusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. 

Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. 

Saksikan ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba hamba-hambaMU.

Mesir tutup Internet, telefon bimbit

by | | 0 comments


POLIS antirusuhan menggunakan penyembur air bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Kaherah, Mesir semalam.



KAHERAH - Pemerintah Mesir semalam memutuskan talian telefon bimbit dan perkhidmatan Internet selain menghantar puluhan trak polis antirusuhan sebagai percubaan untuk menyekat beribu-ribu aktivis daripada menyertai protes antipemerintah yang diadakan selepas solat Jumaat.

Bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed Elbaradei dan Persaudaraan Muslim turut menyertai protes tersebut walaupun terdapat amaran bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas untuk mematahkan gelombang kebangkitan itu.

Ketiadaan perkhidmatan Internet menghalang akses ke laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi alat komunikasi utama para penganjur protes.

Polis Mesir mengalami kesukaran untuk berdepan dengan penunjuk perasaan yang telah bertempur selama tiga hari. Mereka menuntut supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan selepas memerintah selama 30 tahun.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran bahawa keganasan bukan penyelesaian di Mesir.

Obama turut meminta kedua-dua belah pihak mengawal perasaan dan menggesa Hosni agar melakukan perubahan politik.

"Ini adalah waktu kritikal dalam hidup rakyat Mesir. Keinginan untuk berubah mesti dihormati. Rejim tidak boleh menggunakan kekerasan ke atas peserta demonstrasi," kata Elbaradei yang lantang mengkritik Hosni dan menyatakan kesediaannya untuk mengetuai perubahan di Mesir jika diminta berbuat demikian.

Demonstrasi itu mendapat ilham daripada Revolusi Jasmin yang berlaku di Tunisia baru-baru ini sehingga mengakibatkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan.

Setakat ini, lima penunjuk perasaan dan dua anggota polis terbunuh di Mesir manakala 100 yang lain cedera.
Seorang pegawai keselamatan memberitahu kira-kira 1,000 orang telah ditahan sejak tunjuk perasaan bermula pada Selasa lalu.

Para aktivis menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menuntut hak untuk hidup dengan penuh kebebasan dan bermaruah.

Hosni dianggap sebagai presiden yang tidak membawa pembaharuan ekonomi.

Hampir separuh daripada 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan berdasarkan kadar pendapatan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS$2 (RM6.11) sehari.

Negara itu mempunyai pendidikan yang berkualiti rendah, kadar pengangguran tinggi telah menyebabkan penduduk gagal memperoleh keperluan hidup yang sempurna. - Agensi

KOSMO! http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Kenapa Cemburu

by | | 0 comments
DEFINISI cemburu menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih. Kecemburuan juga boleh wujud dalam persahabatan atau antara adik-beradik seperti kakak dengan adik kandungnya.

Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap orang yang dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang berkata ‘cemburu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan. Mungkin ini ada benarnya, kerana jika kita tidak sayang pada seseorang mengapa mesti kita merasa cemburu terhadapnya.

Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia yang amat sukar untuk dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’ seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan jelas (tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk dirinya sahaja dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan orang lain.

Namun begitu sifat terlampau cemburu yang mencapai tahap ‘cemburu buta’ amat tidak digalakkan kerana ia boleh menggugat hubungan sesebuah rumahtangga begitu juga ketiadaan langsung sifat cemburu pula sebenarnya boleh membawa akibat buruk kerana ia boleh menjadi punca pasangan ‘mudah dikebas orang’. Dengan itu terdapat dua jenis cemburu iaitu cemburu yang positif dan cemburu yang negatif.

Bila berbicara tentang cemburu juga, ramai menuding jari mengaitkannya dengan kaum hawa di mana mereka beranggapan bahawa kaum wanita ini sangat kuat cemburunya. Dalam soal ini, sebenarnya sama ada lelaki mahupun wanita masing-masing mempunyai sifat cemburu. Cuma yang membezakannya ialah tahap cemburu tersebut dan sejauh manakah perasaan cemburu itu berjaya dikawal.

Dalam hubungan suami isteri, sifat cemburu wajib dikawal. Jika tidak klimaksnya nanti boleh membawa kepada putusnya sesuatu ikatan perkahwinan itu (bercerai). Dalam hal ini rasa cemburu acapkali membuatkan seseorang berubah menjadi orang yang selalu curiga dan sentiasa berprasangka buruk. Hakikatnya dia sedar bahawa sikap cemburunya itu kurang menyenangkan pasangannya tetapi dia tidak mampu mengawalnya. Dia merasakan bahawa apa yang dilakukan semuanya betul dan sentiasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya hatta perkara yang kecil sekalipun sehingga mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran yang menggugat kemesraan yang terjalin sebelumnya.

Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan, seseorang itu apabila dapat melihat tanda-tanda awal cemburu pada pasangannya, hendaklah bertindak segera agar tidak merebak. Ikutilah tips berikut tentang bagaimana untuk mengawal keadaan sekiranya mendapat pasangan yang kuat cemburu.


Manusia tidak lepas bebas daripada sikap cemburu

Dari Aisyah r.a., isteri Rasulullah SAW, dia menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah: “Kerana itu aku cemburu kepada beliau.”
Setelah beliau kembali, dia memperhatikan tingkahlaku ku dan baginda bertanya: “Mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?” Jawabku: “Bagaimana wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti anda?” Tanya baginda: “Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?” Jawab Aisyah: “Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?” Jawab baginda: “Ya!” Aku bertanya: “Aku sendiri juga?” Jawab baginda: “Ya! Tapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat.”

(Hadis Riwayat Muslim)


Pendekatan tipu daya syaitan adalah pelbagai. Ini bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang berilmu melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dihasut dengan amalnya. Orang yang kaya dirosakkan dengan harta bendanya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran disebabkan kesusahan yang dialaminya. Hadis di atas menerangkan bahawa setinggi mana pun ilmu dan sebanyak mana pun amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat menjamin sepenuhnya bahawa ia akan selamat daripada tipu daya syaitan. Oleh itu Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan godaan syaitan laknatullah.

Dari Mughirah r.a. katanya: “Saad bin Ubadah mengatakan, ‘Kalau sekiranya saya melihat lelaki berkelakuan serong dengan isterinya, nescaya lelaki itu saya tetak dengan pedang, bukan dengan punggungnya.’ Ucapan itu sampai kepada Rasulullah SAW lalu baginda berkata: “Mengapa kamu hairan melihat cemburu Saad? Demi Allah aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga.’” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Setiap apa yang menimpa diri kita ataupun orang lain daripada perkara-perkara berupa kesulitan dan sebagainya, semuanya berpunca daripada sikap kita yang meremehkan perintah Allah SWT, tidak menganggap penting dan tidak pempedulikan hak-hak Allah yang seharusnya dipenuhi oleh hamba-Nya. Oleh itu selaku manusia kita hendaklah memilki sifat al-Khouf dan ar-Roja’ karena dengan memiliki kedua perasaan tadi manusia akan berfikir bahawa boleh jadi Allah akan menyiksanya atau merahmatinya. Hal ini akan menggerakkan manusia untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin manakala dengan sifat al-Khouf pula akan mengekang manusia daripada melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Sempurna dan manusia itu amat dhaif tanpa adanya pemberian ataupun nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Dengan itu manusia handaklah bersifat sebagai hamba yang sentiasa cemburu untuk mendapatkan kasih sayang dan rahmat Allah bukan bersaing mahu menempah kemurkaan Allah SWT.

Sudah 22.

by | | 0 comments
Akan tiba waktu sekali dalam hidup, apabila seseorang manusia itu mula berfikir tentang dirinya. Bagaimanakah harus aku meneruskan hidup? Sudah 22 sekarang. Apakah lagi yang patut dilakukan.

Berpuas hati dengan keadaan sekarang? Terus sahaja begini? Tak boleh! Saya mesti upgrade diri saya.

Tak perlu sibuk-sibuk dengan urusan orang. Diri sendiri lebih penting.

Tapi fitrahnya hidup di dunia ini bukan seorang.

Tapi ada juga orang mahu terus leka. Lebih sayangkan dunia. Kadang-kadang hanya cuma menipu diri sendiri.

Yang punya akal pasti mampu berfikir. Sudah tentu tahu apa yang benar apa yang salah. Namun kerana nafsu dan syaitan, jasad tidak mampu bertindak.

Hanya minda sendiri yang mampu control diri sendiri.