Kenapa Cemburu

by | |
DEFINISI cemburu menurut kamus adalah ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain, atau ketidakpercayaan akan kesetiaan orang yang dicintai, seperti suami, isteri atau kekasih. Kecemburuan juga boleh wujud dalam persahabatan atau antara adik-beradik seperti kakak dengan adik kandungnya.

Cemburu dapat dikesan apabila seseorang itu mempunyai perasaan terhadap orang yang dicemburuinya. Oleh itu seringkali kita mendengar orang berkata ‘cemburu tandanya sayang’ yang seolah-olah menggambarkan bahawa cemburu adalah satu standard untuk menilai kasih sayang sesuatu pasangan. Mungkin ini ada benarnya, kerana jika kita tidak sayang pada seseorang mengapa mesti kita merasa cemburu terhadapnya.

Sesungguhnya sifat cemburu adalah naluri manusia yang amat sukar untuk dibendung. Lantaran ia adalah disebabkan oleh sikap ‘possesive’ seseorang terhadap pasangannya. Di mana dalam dirinya ada satu pengakuan jelas (tetapi tidak secara langsung) bahawa pasangannya itu hanya untuk dirinya sahaja dan tidak boleh sama sekali diambil atau dikongsi dengan orang lain.

Namun begitu sifat terlampau cemburu yang mencapai tahap ‘cemburu buta’ amat tidak digalakkan kerana ia boleh menggugat hubungan sesebuah rumahtangga begitu juga ketiadaan langsung sifat cemburu pula sebenarnya boleh membawa akibat buruk kerana ia boleh menjadi punca pasangan ‘mudah dikebas orang’. Dengan itu terdapat dua jenis cemburu iaitu cemburu yang positif dan cemburu yang negatif.

Bila berbicara tentang cemburu juga, ramai menuding jari mengaitkannya dengan kaum hawa di mana mereka beranggapan bahawa kaum wanita ini sangat kuat cemburunya. Dalam soal ini, sebenarnya sama ada lelaki mahupun wanita masing-masing mempunyai sifat cemburu. Cuma yang membezakannya ialah tahap cemburu tersebut dan sejauh manakah perasaan cemburu itu berjaya dikawal.

Dalam hubungan suami isteri, sifat cemburu wajib dikawal. Jika tidak klimaksnya nanti boleh membawa kepada putusnya sesuatu ikatan perkahwinan itu (bercerai). Dalam hal ini rasa cemburu acapkali membuatkan seseorang berubah menjadi orang yang selalu curiga dan sentiasa berprasangka buruk. Hakikatnya dia sedar bahawa sikap cemburunya itu kurang menyenangkan pasangannya tetapi dia tidak mampu mengawalnya. Dia merasakan bahawa apa yang dilakukan semuanya betul dan sentiasa ingin tahu apa yang dilakukan oleh pasangannya hatta perkara yang kecil sekalipun sehingga mencetuskan pertengkaran demi pertengkaran yang menggugat kemesraan yang terjalin sebelumnya.

Oleh itu untuk menyelamatkan keadaan, seseorang itu apabila dapat melihat tanda-tanda awal cemburu pada pasangannya, hendaklah bertindak segera agar tidak merebak. Ikutilah tips berikut tentang bagaimana untuk mengawal keadaan sekiranya mendapat pasangan yang kuat cemburu.


Manusia tidak lepas bebas daripada sikap cemburu

Dari Aisyah r.a., isteri Rasulullah SAW, dia menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW pergi dari rumahnya (dari rumah Aisyah). Kata Aisyah: “Kerana itu aku cemburu kepada beliau.”
Setelah beliau kembali, dia memperhatikan tingkahlaku ku dan baginda bertanya: “Mengapa engkau hai Aisyah, cemburukah?” Jawabku: “Bagaimana wanita seperti aku tidak akan cemburu terhadap lelaki seperti anda?” Tanya baginda: “Apakah syaitanmu telah datang pula menggodamu?” Jawab Aisyah: “Ya Rasulullah, apakah aku bersama syaitan?” Jawab baginda: “Ya!” Aku bertanya: “Aku sendiri juga?” Jawab baginda: “Ya! Tapi aku dilindungi Tuhanku sehingga aku selamat.”

(Hadis Riwayat Muslim)


Pendekatan tipu daya syaitan adalah pelbagai. Ini bergantung kepada jenis manusia yang mereka dekati. Mereka membelit orang berilmu melalui ilmunya, sedangkan ahli ibadat dihasut dengan amalnya. Orang yang kaya dirosakkan dengan harta bendanya, sedangkan orang yang miskin lebih dekat dengan kekufuran disebabkan kesusahan yang dialaminya. Hadis di atas menerangkan bahawa setinggi mana pun ilmu dan sebanyak mana pun amalan yang dilakukan oleh seseorang tidak dapat menjamin sepenuhnya bahawa ia akan selamat daripada tipu daya syaitan. Oleh itu Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya lebih bersabar dan bermujahadah melawan godaan syaitan laknatullah.

Dari Mughirah r.a. katanya: “Saad bin Ubadah mengatakan, ‘Kalau sekiranya saya melihat lelaki berkelakuan serong dengan isterinya, nescaya lelaki itu saya tetak dengan pedang, bukan dengan punggungnya.’ Ucapan itu sampai kepada Rasulullah SAW lalu baginda berkata: “Mengapa kamu hairan melihat cemburu Saad? Demi Allah aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripadaku. Kerana itu dilarang-Nya mengerjakan perbuatan keji, baik yang terang atau pun yang tersembunyi. Dan tiada seorang pun yang suka memberi maaf lebih daripada Allah, dan kerana itu diutus-Nya orang-orang yang akan memberikan berita gembira dan orang-orang yang memberikan peringatan. Tiada seorang pun yang suka menerima pujian lebih daripada Allah, dan kerana itu (untuk orang memuji-Nya) dijanjikannya syurga.’” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Setiap apa yang menimpa diri kita ataupun orang lain daripada perkara-perkara berupa kesulitan dan sebagainya, semuanya berpunca daripada sikap kita yang meremehkan perintah Allah SWT, tidak menganggap penting dan tidak pempedulikan hak-hak Allah yang seharusnya dipenuhi oleh hamba-Nya. Oleh itu selaku manusia kita hendaklah memilki sifat al-Khouf dan ar-Roja’ karena dengan memiliki kedua perasaan tadi manusia akan berfikir bahawa boleh jadi Allah akan menyiksanya atau merahmatinya. Hal ini akan menggerakkan manusia untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin manakala dengan sifat al-Khouf pula akan mengekang manusia daripada melakukan perbuatan yang membahayakan keselamatan mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Sempurna dan manusia itu amat dhaif tanpa adanya pemberian ataupun nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Dengan itu manusia handaklah bersifat sebagai hamba yang sentiasa cemburu untuk mendapatkan kasih sayang dan rahmat Allah bukan bersaing mahu menempah kemurkaan Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment