FATWA WAKTU BERBUKA DI UDARA

by | | 0 comments
24 Ogos 2009

As-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi, ketua Persatuan Ulamak Antarabangsa telah mengeluarkan fatwa pada hari Ahad lepas mengenai penentuan waktu berbuka puasa bagi orang yang bermusafir dengan menaiki kapal terbang.

Beliau menyatakan bahawa waktu berbuka puasa bagi mereka ini adalah ketika jatuhnya matahari atau hilangnya matahari dari penglihatan mereka, dan bukan mengikut negara yang ia berada di atasnya.

Mengikut fatwanya, setiap penumpang-penumpang kapal terbang yang ingin berbuka puasa, waktunya tidak boleh:

  • mengikut negara yang mereka bertolak daripadanya, atau
  • mengikut negara yang ditujukannya, atau
  • mengikut negara yang ia berada atasnya.

Akan tetapi waktunya ialah ketika hilangnya matahari daripada penglihatan mata mereka.

Mengikut Syeikh Qardhawi, sesungguhnya dia dikejutkan ketika dalam penerbangan daripada Kaherah ke Doha pada awal Ramadhan baru-baru ini dengan pengumuman daripada seorang pilot asing yang bukan Islam, bahawa telah masuknya waktu berbuka puasa. Akan tetapi dalam waktu yang sama matahari masih terpampang kelihatan dan siangnya masih jelas. Pengumuman itu berpandukan kepada negara yang berada di bawahnya telah memasuki waktu berbuka.

Fadhilatus-Syeikh telah menceritakan dialognya bersama penumpang-penumpang yang duduk bersebelahannya.

Syeikh berkata, “Tidak harus kamu berbuka puasa sebelum terbenamnya matahari. Sebenarnya waktu maghrib masih belum masuk. Maka adakah sah sekiranya kamu solat maghrib pada ketika ini?”

Jawab mereka, “Tidak!”

Maka aku menjawab balik, “Demikianlah juga berbuka puasa. Tidak boleh ia dilakukan sebelum tiba masanya”. Aku mengakhirkan kalamku dengan mengatakan, “Bahawa manusia itu setiap kali berada ditempat tinggi daripada bumi maka akan dapat melihat matahari itu terbenam. Demikianlah juga orang-orang yang tinggal di bukit-bukau atau di tempat–tempat yang tinggi. Mereka akan melihat dengan jelas ketika terbenamnya matahari, berbanding dengan orang-orang yang tinggal berhampirannya di tempat rendah atau tanah berdatar”.

Akhirnya, Al-Qaradawi telah meminta pesawat Qatar (yang beliau naikki) dan juga pesawat-pesawat Arab lain supaya memperingatkan kakitangannya supaya berhati-hati dalam perkara ini dan memastikan terbenamnya matahari sebelum mengumumkan waktu berbuka puasa.


http://qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=7127&version=1